Takabbur adalah perasaan megah dan merasa hebat jika dibanding dengan orang lain. Memandang rendah kepada keupayaan orang lain serta memandang lekeh usaha yang telah dilakukan oleh orang lain. Ada juga yang takabbur tidak mahu mendengar nasihat orang lain dan merasakan semua buah fikirannya adalah betul belaka.
Takabbur adalah perangai iblis
Seperti yang diketahui umum, iblis diperintahkan untuk tunduk kepada nabi Adam a.s, tetapi enggan untuk melakukan sedemikian rupa kerana merasakan dirinya lebih baik daripada Adam a.s. iblis mengatakan dirinya lebih baik kerana dirinya dicipta daripada api sedangkan nabi adam daripada tanah, sedangkan yang menyuruh iblis itu adalah Allah. Maka iblis dilaknat sehingga hari kiamat. Kenapa terjadi sedemikian rupa?
Kerana takabbur.
Memandang diri yang masih ada sifat takabbur
Kadang kala kita beranggapan bahawa diri ini tidak takabbur, kita merasa selamat daripada sifat – sifat seperti itu, tetapi benarkah sedemikian? Cuba anda tenungkan sebentar, saya bagi contoh yang mudah, seperti ketika mana kita hendak makan, adakah kita berdoa untuk makan? Ataupun mengucapkan Alhamdulillah setelah selesai makan? Yakinkah anda bahawa yang mengeyangkan kita adalah Allah bukan makanan itu sendiri?
Satu lagi contoh adalah ketika mana kita sedang berjalan, tetapi cuba mengelakkan diri daripada bertemu dengan seseorang kerana kita tidak menyukainya. Kalau bertemu pun, buat – buat tidak nampak, kalau saling berpandangan pun, bermasam muka, kalau terpaksa bercakap dengan orang tersebut, sanggup menggunakan orang ketiga untuk berhubung dengan orang tersebut. Bukankah itu takabbur?
Muliakan dirimu dengan mengikis sifat takabbur
Orang yang takabbur merasakan dirinya hebat, tetapi hakikatnya takabbur itu menghilangkan kehebatan pada dirinya sendiri. Jangan kita bersifat takabbur kerana ianya boleh merosakkan diri daripada dalam diri itu sendiri. Balasan takabbur bukan sahaja terhad di dunia tetapi ianya menembusi hingga hari akhirat.
Jangan takabbur, sesungguhnya sifat itu adalah milik-Nya
No comments:
Post a Comment