Thursday 29 March 2012

kegagalan

Semua manusia ingin berjaya dalam kehidupan ini, dan kerana itu juga kita terpilih untuk lahir ke dunia ini. Tiada manusia yang apabila ditanya apakah dia ingin gagal dalam kehidupannya, dia akan menjawab “tidak” meskipun perbuatannya tidak melambangkan dia seorang yang ingin berjaya. Itulah fitrah yang dijadikan dalam jiwa setiap manusia iaitu inginkan kejayaan dan kemenangan dalam apa jua bidang yang diceburinya hatta permainan sekalipun.

Kadang – kadang kita lupa kita sedang diuji

Ya, kita lupa mengenai hakikat itu, kadang kala, sampai satu tahap dimana kita telah curahkan dan korbankan segalanya iaitu harta, masa, tenaga, jiwa untuk mencapai satu – satu kejayaan, sehingga kita rasakan kita tidak akan menghadapi kegagalan, kita tidak akan diuji dengan kekalahan. Perasaan sebegitu yang timbul, menyebabkan kita ini berputus asa apabila diuji dengan kekalahan.

Dunia ini terlalu kecil untuk kita tangisi

Apakah perasaan anda apabila gagal dalam sesuatu bidang, cuba saudara bayangkan saudara sendiri yang gagal dalam peperiksaan module 2 dan module 3, apakah perasaan saudara? Sedih, kecewa, rasa ingin menangis. Tetapi cuba saudara bayangkan kita gagal dihadapan Allah nanti

·  Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabbnya, (mereka berkata): "Ya Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin". (QS. 32:12)

Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya dan orang kafir berkata: "Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah". (QS. 78:40)

Titisan kemenangan dan kegagalan dalam dunia ini terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kebesaran lautan akhirat sana. Jangan berasa bangga dan sedih akannya.

Tiada kegagalan dalam perjuangan seorang mukmin

Kita lihat zaman para nabi yang terdahulu, zaman nabi (S.A.W), zaman sahabat (R.A) sehingga ke hari ini, kita lihat pejuang – pejuang agama Allah, hidup mereka sentiasa diuji, dan kebanyakan mereka mati dalam keadaan yang mengerikan, ada yang dipenggal kepalanya, ada yang belah badannya, ada yang dibakar hidup – hidup, ada yang digergaji kepalanya, ada yang dicakar badannya dengan besi sehingga gugur daging – daging mereka, tetapi tidak langsung mengubah keimanan mereka, kita lihat seolah – olah mereka ini kalah dalam perjuangan mereka,tetapi mereka telah menang di sisi Allah, bandingkan dengan kita yang baru sedikit diuji dengan kegagalan, dimana kita letakkan keimanan kita kepada Allah? Dimana sangka baik kita kepada takdir Allah?


Apabila diuji dengan kekalahan dan kegagalan, janganlah kita terus bersedih di dalamnya. Muhasabah kembali, terimalah ia sebagai teguran halus dari tuhanmu, kerana bicara tuhanmu hanya akan kita fahami apabila bersangka baik dengan ketentuan-Nya. Tipulah kita, jika ditakdirkan gagal, kita tidak merasa sedih langsung atas kegagalan tersebut, tetapi jadikan kegagalan itu adalah kejayaan pada masa hadapan

Tuesday 27 March 2012

Kosongnya hidup ini

Manusia, apabila berbicara tentang impiannya, cita – citanya, seperti tiada penghujungnya, seolah – olah semuanya boleh digapai dengan mudah, tiada halangan, tiada ujian, tetapi sedarkah kita? Apabila manusia berjaya mencapai cita – cita itu, apa yang mereka rasakan? Bahagia? Atau perasaan yang dirasakan “bahagia” itu akhirnya hilang juga, seolah ianya tidak kekal lama meskipun impian sudah ada dalam genggaman.

Kita kembali mencari impian yang lain

Keinginan manusia itu sentiasa berubah, mencari dan terus mencari impian yang baru untuk digapai, tetapi Begitu juga perasaan yang dirasakan ketika sudah mencapai impian yang baru itu, terasa jiwa ini kosong, kadang kala sampai ketika, hati berbisik bersendirian tertanya – Tanya apa yang kau inginkan dalam hidup ini.

Satu analogi atau contoh yang mudah, seseorang yang belajar tidak kiralah, di sekolah, di university, atau di mana pun, mesti mahukan keputusan yang cemerlang bukan? Seterusnya mendapat keputusan yang amat cemerlang, gembira bukan? Tetapi sesudah itu mahukan pekerjaan pula, selepas itu mahukan pasangan, dan, dan dan. Kesemua impian dapat kita gapai.Tetapi apakah perasaan gembira itu berkekalan?
Kehidupan seolah – olah kosong, sunyi dan hambar. . . seolah - olah sentiasa ada satu ruang kosong dalam hidup ini yang belum dipenuhkan lagi, apakah dia? jawablah wahai hatiku dengan fitrah dirimu dengan sejujur – jujurnya.

Aku inginkan Allah

Bisikan hati dan jiwaku!! Itulah yang kita cari dalam hidup ini sebenar – benarnya, kembalilah kepada fitrah kita yang asal, iaitu menjadi hamba kepada Allah S.W.T. jadilah insan yang bergantung harap kepada – Nya, bermohon dan memintalah kepada-Nya, kerana itulah punca kebahagian kita dalam kehidupan ini.

Kita meninggalkan fitrah kita lantas mengejar nafsu

Kembalilah, tiada apa yang indah dalam hidup ini jika kehidupan yang kita bina bukan di atas fitrah sebagai seorang hamba-Nya. Tiada indah kehidupan ini jika ianya hanya menjauhkan diri kita dengan Pencipta.
 Bukan yang ini yang ku pohon, bukan impian yang ku pinta, bukan ini, Ya Allah. Aku mohon agar dijadikan kehidupanku ini bulat – bulat hanya untuk Mu, Ya Allah..



Alhamdulillah

Tuesday 6 March 2012

Menjadi penyumbang ke arah kebangkitan islam

Sebagai manusia yang bergelar muslim mempunyai peranannya di atas muka bumi ini, apakah peranan itu? Peranannya adalah memakmurkan bumi ini dengan syariat Allah. Kita lihat bagaimana pada zaman kita pada hari ini, jauhnya kita telah tersesat meninggalkan suruhan Allah dalam kehidupan kita.

Semakin jauh kita melangkah meninggalkan Allah dalam kehidupan kita, semakin jauh kita dengan kebenaran. Memang tidak dapat dinafikan, islam itu agama yang syumul dan menyeluruh serta lengkap daripada semua aspek kehidupan kita, tetapi bagaimana pula apabila kita berbicara tentang muslim, yakni penganutnya.

Itulah tanggungjawab kita

Mengembalikan muslim kepada kehidupan islam sebenar, itulah tanggungjawab kita semua, tetapi bagaimana? Apabila berbincang perkara ini, iaitu perkara untuk mengembalikan islam supaya ianya tertegak di atas muka bumi ini, ramai di kalangan manusia merasakan, kita perlu mendirikan sebuah Negara, mempunyai perlembagaan islam, menjalankan hukum qisas, hudud, takzir, baru boleh menjalankan syariat Allah dalam kehidupan kita. Begitu kompleknya pemikiran Tidak semestinya begitu.

Menyumbang ke arah kebangkitan islam

Menyumbang ke arah itu, tidaklah serumit yang selalu orang fikirkan, kadang – kadang hanya dengan mengutip sampah, juga boleh menyumbang ke arah kebangkitan islam, Hanya dengan menjaga lidah, percakapan , pergaulan juga meyumbang kearah yang sama, Nampak? hanya dengan mengikut perintah Allah yang sudah terkandung dalam al –quran, serta mengamalkan sunnah nabi-Nya sangat – sangat menyumbang ke arah kebangkitan islam.

Islam itu tetap akan bangkit

Itulah janji nabi dalam hadisnya, ruginya kita sebagai seorang islam apabila tidak menjadi penyumbang kepada islam, jikalau kita menjatuhkan agama islam sekalipun, itulah adalah janji nabi, islam tetap akan naik, sesiapakah yang paling untung dalam hal ini? Dan siapakah yang rugi dalam hal ini? Kemenangannya sudah ada didepan mata, tetapi siapakah yang mahu mengejarnya? Kitalah yang patut menggapainya



Dalam kehidupan kita sebagai pelajar

Tanamkan azam untuk bangkitkan islam dalam pelusuk kehidupan kita, niatkan pembelajaran yang kita lalui selama ini untuk menjadi penyumbang ke arah itu, bukan semudah berbicara tentang semua ini, tetapi pada masa yang sama juga ianya bukan mustahil untuk melaksanakannya. Hanya perlu ada kemahuan dan juga ikhtiar, serta istiqomah dalam perjuangan.