Tuesday, 27 December 2011

Keinginan manusia itu tidak pernah cukup

Setiap manusia mempunyai keinginan yang tersendiri, punyai visi dan misi yang berlainan, setiap manusia berharap agar apa yang dicitakannya dapat diperolehi, dan mempunyai matlamat yang berlainan setiap daripada apa yang diusahakannya itu serta berkorban dan mengerahkan segala tenaga dan keupayaan demi mencapai hasratnya.

Setelah mereka mendapatkan apa yang mereka inginkan,

Kebanyakan mereka lupa mensyukurinya setelah mendapatkannya, dan lebih teruk lagi, merasa tidak setimpal akan ganjaran yang telah dikurniakan dengan usahanya yang selama ini telah mereka curahkan. Perasaan apakah ini? Menunjukkan manusia itu tidak pernah merasa puas dan bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan.

Kadang – kadang kita terlupa siapa yang mengaturnya

Kadang kala kita tidak dapat apa yang kita inginkan, lantas timbul rasa kekecewaan. Tanyalah pada dirimu,  Siapakah yang mengaturkannya? Dia adalah tuhan seluruh alam, raja segala raja Dia adalah tuhan kita yakni Allah. Dia yang memegang setiap rahsia hikmah dalam aturan-Nya. Mengapa ada juga manusia yang lupa mengenainya?

Manusia itu tiada yang memuaskannya

Manusia jika diberi satu gunung emas, nescaya dia akan inginkan gunung emas yang kedua, dan jika diberi dua gunung nescaya dia inginkan yang ketiga, dan ianya akan berterusan. Sampai bila? Sampai tanah memenuhi perutnya yakni mati. Inginkah kita menjadi sebahagian daripada golongan seperti itu?

Salah  satu jalan penyelesaian

Dengan sifat qanaah sahaja yang dapat mencukupkan keinginan manusia, sifat yang diajar oleh nabi kita (S.A.W) kepada kita, hanya itu sahaja ubatnya kerana jika diturutkan semua keinginan manusia, tidak akan pernah cukup, dan pada masa yang sama, melahirkan rasa tamak dalam diri. Bukankah itu merugikan?

Melatih diri dengan sifat qanaah



Qanaah adalah satu sifat yakni merasa cukup dengan apa yang ada dan bersyukur atas apa yang dikurniakan. Memang sukar untuk melatih diri dengan bersifat qanaah namun bukan bermakna ianya mustahil. Latihlah sifat tersebut, kerana dengan sedemikian, kita akan merasakan segala keinginan kita telah dipenuhi.

No comments:

Post a Comment